Minggu, 29 Desember 2013
Mereka Bukan Buat Jenayah Besar – DPPM

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa tindakan polis menahan empat lelaki kerana mengadakan perhimpunan membantah kenaikan harga petrol dan diesel menjatuhkan imej pasukan itu.
Naib Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss mendakwa, empat lelaki itu bukan membuat satu jenayah besar sebaliknya hanya membuat bantahan aman dengan menggunakan kertas ‘kad manila’.
“DPPM berasa kesal dengan penahanan ini. Tindakan menahan empat peserta daripada aktivis Royalti (R) itu tidak bertanggungjawab.
“Tindakan ini akan menyemarakkan golongan muda untuk terus menyatakan kebenaran,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Raja Ahmad seterusnya mendakwa pihak berkuasa tidak boleh menyekat orang ramai untuk bersuara dan menyatakan bantahan mereka.
Dakwa beliau, pihak berkuasa sepatutnya fokus untuk menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meruncing di negara ini.
“Kepada empat aktivis R yang ditahan, kami sangat berbangga dengan semangat juang kalian,” katanya.
Media hari ini melaporkan polis menahan empat lelaki kerana mengadakan perhimpunan haram bagi membantah kenaikan harga petrol dan diesel berhampiran sebuah pasar raya di Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dipetik berkata, keempat-empat lelaki itu berumur antara 22 hingga 36 tahun ditahan di tempat kejadian kira-kira 3.20 petang.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Terdapat kira-kira 20 orang membuat bantahan itu tetapi keempat-empat lelaki terbabit enggan bersurai dan meneruskan perhimpunan menyebabkan mereka ditahan.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar